Penganggur didakwa rosakkan patung di tokong - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa rosakkan patung di tokong

SALIM Yusof (tengah) yang didakwa merosakkan patung di sebuah tokong dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret kerana merosakkan patung dan peralatan sembahyang di sebuah tolong, di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Salim Yusof, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak.

Mengikut pertuduhan, Salim didakwa telah melakukan khianat dengan merosakkan patung dan memecahkan kotak cermin kaca milik sebuah persatuan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di premis Persatuan Nan Ann dekat Jalan Kemajuan di sini kira-kira pukul 7.15 pagi pada 29 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK).

Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan pada 9 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN