Penerima Darjah Kebesaran akan ditarik balik sekiranya terlibat dengan jenayah - Agong - Utusan Malaysia

Penerima Darjah Kebesaran akan ditarik balik sekiranya terlibat dengan jenayah – Agong

SULTAN Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Persekutuan Sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - FACEBOOK RASMI RTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerima Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Persekutuan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim boleh ditarik balik sekiranya penerima terlibat dengan jenayah.

Seri Paduka bertitah, ramai pihak menaruh harapan dan berusaha untuk mendapatkan darjah kebesaran dan terpedaya serta ditipu oleh ejen-ejen yang mengambil kesempatan malah ada yang melobi Seri Paduka untuk mendapatkan darjah Datuk dan Tan Sri.

“Kenapa saya nak melayan semua ini? Suka saya nyatakan di sini, bahawa setiap pencalonan yang dibawa oleh kerajaan akan teliti satu per satu. Pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak, yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat serta negara.

“Justeru itu, saya telah bersetuju untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 116 orang penerima sahaja. Pesanan saya kepada semua penerima untuk sentiasa jujur dan amanah kepada pemerintah, jaga tingkah laku dan jangan libatkan dengan rasuah atau kesalahan.

“Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala Darjah dan Pingat Kebesaran akan ditarik balik, ‘goodbye to it’,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim turut mengarahkan setiap penjara dalam negara bagi menyemak mana-mana banduan yang mempunyai Darjah Kebesaran dan Pingat Kebesaran untuk ditarik balik.

“Sehubungan itu, saya telah arahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan Darjah Kebesaran, maka ia ditarik balik.

“Hal ini hanyalah untuk Darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan. Darjah Kebesaran negeri lain saya tidak masuk campur,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan hadir ke Balairong Seri, Istana Negara bersempena dengan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Persekutuan Sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan pada Istiadat Menghadap dan Sembah Ucapan Tahniah bersempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN