Penempatan pegawai Jakim untuk rujukan isu berkaitan Islam

Penempatan pegawai Jakim di pejabat kerajaan untuk rujukan isu berkaitan Islam – Yadim

Hasanuddin Mohd. Yunus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di pelbagai kementerian  adalah sebagai satu langkah penyelarasan aktiviti keagamaan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunos berkata, langkah ini perlu memandangkan terdapat beberapa isu dan permasalahan berkaitan agama Islam yang memerlukan rujukan dan bimbingan khusus pegawai terlatih.

Dalam konteks ini, katanya, Jakim adalah pihak yang tepat untuk memainkan peranan tersebut.

“Sebagai rakyat yang ingin hidup damai bersama, kita menerima bahawa kerajaan mempunyai hak dan tanggungjawab dalam mengurus kaedah pentadbiran yang tepat termasuklah dalam hal bantuan kewangan.

“Peruntukan kewangan untuk pentadbiran hal ehwal agama Islam telah lama dipraktikkan oleh pentadbiran Kerajaan Malaysia sebelum ini dan kini adalah kesinambungan kepada usaha yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.

Kumpulan itu mendakwa, tindakan ini berpotensi menjejaskan jaminan  Perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.

Hasanuddin yang juga Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) berkata, tindakan kumpulan itu membangkitkan dan mempolemikkan isu ini adalah perkara yang tidak berasas sedangkan bantuan untuk perkara-perkara lain kepada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat tetap diteruskan.

Katanya, MAIM mengambil positif terhadap usaha kerajaan dan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar agar diadakan pertemuan dengan pihak terbabit dalam menerangkan isu yang ditimbulkan.

“MAIM tetap konsisten mengangkat agenda keharmonian, perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia.

“MAIM menyeru budaya dialog sihat, beradab dan berfakta ke arah membangun Malaysia lebih bertamadun dan sejahtera selari dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN