Penduduk tepi pantai risau rumah dibadai ombak - Utusan Malaysia

Penduduk tepi pantai risau rumah dibadai ombak

IMRAN Pejor melihat ombak yang membadai di hadapan rumahnya berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat di pesisir pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang penduduk yang rumahnya terletak di pesisir pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis di sini, kelihatan tidak senang duduk dan sesekali dia keluar duduk di kerusi batu di depan rumahnya melihat ombak mula membadai di kawasan hadapan kediaman berkenaan.

Imran Pejor,41, bersama keluarga itu juga sentiasa berada dalam keadaan siap sedia memindahkan barang di tempat lebih tinggi kerana air mula memasuki rumah ekoran fenomena air pasang dan hujan lebat yang dijangka berlarutan sehingga Sabtu ini.

Wartawan Utusan Malaysia yang meninjau sendiri keadaan ketika waktu puncak air pasang tersebut sekitar pukul 1 tengahari semalam di sekitar Kuala Perlis di sini mendapati pantai mula dibadai ombak kuat dan angin kencang serta hujan lebat sehingga menyebabkan air melimpah memasuki rumah dan kedai-kedai makan di pesisir pantai berkenaan.

Selain itu, beberapa laluan sekitar kawasan tersebut turut dinaiki air dan menyukarkan kenderaan awam untuk melaluinya.
Imran berkata, fenomena air pasang ini adalah situasi biasa namun kali agak terus dengan angin kencang dan hujan lebat.
“Kami yang berada di pesisiran pantai ini sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan situasi yang berlaku ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mailamah Adam, 59, berkata, fenomena air pasang besar pada kali ini disifatkan paling sejak beberapa tahun lalu sehinggakan turut menjejaskan kediamannya.

Katanya, berikutan itu, kediamannya sudah mula dinaiki air dan mereka sekeluarga juga sudah berada dalam keadaan siap sedia.

“Dah beberapa tahun rumah saya tidak pernah dinaiki air namun kali ini keadaan air pasang besar agak teruk dan turut memasuki rumah saya sehingga paras betis,” katanya.

Tambah Mailamah, dia juga tidak sempat untuk mengalihkan semua barangan di rumahnya memandangkan kejadian air pasang itu berlaku dengan begitu pantas.

Katanya, dia juga bercadang untuk mengemas rumahnya itu dalam tempoh seminggu selepas ini kerama bimbang sekiranya paras air kembali naik selepas ini.

“Selalunya fenomena air pasang besar tersebut akan berlaku pada pukul 12 tengah hari tapi kali ini ia berlaku awal sekitar pukul 10 pagi dan waktu kemuncak sekitar pukul 1 tengahari ini.

“Kami sekeluarga sentiasa bersiap sedia sekiranya keadaan paras air naik semula selepas ini dan melihat kepada hujan lebat yang masih berterusan, air dijangka naik lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya