KEPALA BATAS : Seorang jurukimpal berkongsi detik-detik mencemaskan ketika angin kencang dan ribut berlaku di rumahnya di Kampung Pongsu Seribu di sini, petang semalam.
Ibrahim Wan Teh, 49, berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, dia berada di ruang tamu bersama anak-anaknya.
Ketika itu, kata Ibrahim, angin sangat kencang dan disertai ribut kuat hingga menyebabkan bumbung bahagian dapur rumah mereka tercabut dalam ‘sekelip mata’
“Sepanjang saya tinggal di sini sejak kecil, inilah kali pertama kampung kami dilanda bencana sebegini.
“Angin yang menderu menerbangkan atap zink, namun, mujurlah tidak berlaku sebarang kecederaan.
“Buat masa ini, kami berempat tidur di ruang tamu buat sementara waktu kerana bimbang kejadian ini akan berulang susulan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya.
Ibrahim ditemui pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri di kediamannya, hari ini.
Pengalaman hampir sama turut dikongsi oleh seorang lagi penduduk, Roslina Abu Bakar, 49, yang memberitahu, dia terdengar bunyi angin yang amat kuat sebelum bumbung rumahnya tercabut.
“Sebelum ini, saya hanya mendengar berita mengenai puting beliung dan ribut. Tetapi, apabila dah rasai sendiri, pengalaman itu sebenarnya amat menakutkan dan saya harap ia tidak akan berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, secara keseluruhannya, seramai enam keluarga terjejas akibat kejadian itu telah menerima bantuan yang diperlukan ketika ini.
“Saya bersama pihak JKM Pulau Pinang telah melawat rumah-rumah yang terkesan termasuklah melihat keadaan bumbung-bumbung yang tercabut selain dimasuki air akibat hujan lebat semalam.
“Selain bantuan wang tunai, bumbung rumah yang terjejas akan dibaik pulih segera dalam tempoh sehari dua ini menerusi peruntukan berjumlah hampir RM24,000,” katanya.-UTUSAN