Penduduk gesa bina ban lebih kukuh

Penduduk gesa bina ban lebih kukuh

PENDUDUK Sungai Tiang melihat ban yang terjejas akibat air pasang di kampung mereka di Bagan Datuk, Perak, kelmarin. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Penduduk dan nelayan Sungai Tiang di sini merayu pihak bertanggungjawab membina ban yang lebih kukuh supaya limpahan air pasang besar tidak masuk ke kampung mereka.

Ini selepas fenomena air pasang yang berlaku di kampung mereka baru- baru ini menyebabkan ombak dari muara Sungai Perak melepasi paras ban.

Penduduk berkata, ban yang diperbuat daripada batu itu tidak cukup tinggi untuk menghalangi ombak melepasinya.

Penduduk Bagan Sungai Tiang, Tan Foong Tiong, 59, berkata, fenomena air pasang besar kali ini paling buruk pernah berlaku di kampung itu.

Menurutnya, ombak yang melepasi ban penahan hakisan di kampung itu turut membawa lumpur naik sehingga ke kawasan rumah mereka.

Katanya, ombak menyebabkan pelantar ikan dan bot nelayan rosak manakala banyak peralatan menangkap ikan diha­nyutkan ombak.

“Ban ini dibina lebih 20 tahun lalu, keadaannya sudah tidak sesuai kerana keadaan tanah di kampung ini lebih rendah dari paras sungai.

“Air pasang besar yang berlaku baru-baru ini menyebabkan ombak melepasi ban dan masuk ke kampung kami.

“Ban ini perlu diperbaiki atau ditambak supaya lebih tinggi bagi mengelak air melepasi ban jika berlaku air pasang besar,” katanya.

Mohamad Azmi Abdullah, 60, pula berkata, ban sedia ada sudah mendap dan rendah menyebabkan air sungai melimpah masuk dengan cepat.

Katanya, ban itu dibina daripada batu dan mudah hanyutkan jika air pasang besar.

“Saya mencadangkan ban dibina menggunakan konkrit batu lebih besar supaya lebih kukuh apabila dipukul arus deras dan ombak air pasang besar.

“Ban yang ditambak batu tidak kuat untuk menahan ombak di muara Sungai Tiang yang bertembung dengan air laut Pulau Sembilan dan Selat Melaka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN