Penderitaan pesakit kanser ulang-alik 80km raih perhatian  - Utusan Malaysia

Penderitaan pesakit kanser ulang-alik 80km raih perhatian 

JAMIL Khir Baharom (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Wan Fahimah Wan Mohamad Othman (dua kiri) yang menghidap kanser tahap empat di rumahnya di Kampung Kepala Batas, Kuala Nerang di Padang Terap - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Penderitaan penuntut universiti yang menghidap kanser payu dara tahap tiga meraih perhatian apabila banyak pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan sejak kisahnya tersiar di Utusan Malaysia bulan lepas.

Terbaharu, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang menziarah pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Wan Fahimah Wan Mohamad Othman, 27, itu menyerahkan sumbangan kutipan derma oleh warga kerjanya termasuk penduduk desa KEDA.

Selain itu, KEDA turut mengumumkan bantuan membaikpulih rumah keluarga Wan Fahimah di Kampung Kepala Batas, Pedu di sini yang usang berjumlah RM15,000.

Wan Fahimah yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan Pengajian Qiraat, UniSHAMS itu berkata, bantuan kepadanya melimpah ruah sejak penderitaannya tersiar di akhbar ini.

“Alhamdulillah, banyak bantuan yang saya terima termasuk sumbangan orang ramai. Zakat pun beri bantuan bulanan RM500 dan biasiswa pun sudah dapat semula sebanyak RM7,000 berbanding RM6,000 sebelum ini.

“Hari ini KEDA pula ziarah bagi bantuan termasuk nak baiki rumah ini. Alhamdulillah, ringan beban saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui pada program Serahan Sumbangan Kasih KEDA yang dihadiri Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Utusan Malaysia pada 7 Ogos lalu menyiarkan penderitaan Wan Fahimah yang berulang-alik sejauh 80 kilometer (km) dari rumah sewanya di Kuala Ketil, dekat sini ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak awal tahun lalu bagi mendapatkan rawatan kanser payudara.

Wan Fahimah juga pernah bekerja tukang cuci tandas bagi menampung kos rawatannya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan HPP setelah disahkan menghidap penyakit itu pada awal tahun ini.

Menurutnya, dia kini sudah menyambung semula pengajiannya di UniSHAMS setelah cuti sakit selama enam bulan untuk menjalani pembedahan dan rawatan bagi kansernya itu.

“Kesihatan saya bertambah baik selepas kimoterapi selama enam sesi dan saya harap kanser saya ini pulih sepenuhnya,” kata anak kedua dari lapan adik beradik ini.

Dalam pada itu Jamil Khir berkata, ibu kepada Wan Fahimah iaitu Rodhiah Safie, 49, menerima geran bantuan ekonomi KEDA melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bagi bisnes  kuih-muihnya.

“Buat masa ini KEDA dalam proses untuk membaik pulih rumah keluarga ini melibatkan kos sebanyak RM15,000. Kos ini meliputi pembaikan bumbung rumah dan bilik air. Projek baik pulih ini dijangka dapat disempurnakan pada awal November,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya