PUTRAJAYA: Kerajaan akan beralih kepada pengukuran kemiskinan yang lebih bermakna berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai asas dalam mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan.
Ia antara lima ikhtiar kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Konsep NDI akan mengurangkan ralat keciciran dan bersifat lebih adil dengan mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
PAKW merujuk kepada kos keperluan hidup untuk menjalani kehidupan bermaruah dan bermakna (decent living) meliputi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti dan pengangkutan serta berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah.
“Ikhtiar kedua pula ialah Mereformasi Dana Menoktah Kemiskinan untuk meneruskan reformasi fiskal sebagai sebahagian daripada langkah untuk menstruktur semula ekonomi ke arah kemampanan.
“Ini termasuk merombak struktur subsidi menyeluruh kepada subsidi dan bantuan yang lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan,” katanya pada majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di sini hari ini.
Bagi ikhtiar ketiga pula, kerajaan akan Menyepadukan Data yang mempunyai pelbagai pangkalan data utama yang menjadi rujukan dalam pelaksanaan program menoktahkan kemiskinan di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Sumber-sumber data ini kemudiannya akan turut diintegrasi kepada Pangkalan Data Utama (PADU) untuk membangunkan repositori data rujukan tunggal kerajaan dalam pelaksanaan program menoktah kemiskinan serta pelbagai program sosioekonomi dapat direalisasikan.
“Oleh pada tahun depan, kerajaan menyasarkan pengunaan PADU sebagai asas dalam penentuan kelayakan dan pemberian bantuan sekali gus menyokong inisiatif membuat keputusan berasaskan data,” katanya.
Anwar berkata, bagi memastikan tumpuan dan usaha berterusan dalam memerangi miskin tegar ini, satu set data baharu dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 disediakan.
Data dinamik eKasih pada 1 Ogos lalu menunjukkan terdapat seramai 22,893 KIR miskin tegar di seluruh negara dan jumlah ini akan dijadikan sebagai locked figure baharu yang mana data ini perlu dipantau rapi serta diambil langkah-langkah intervensi bagi memastikan ia dapat disifarkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.
“Sehingga 15 September lalu, rekod eKasih menunjukkan baki KIR miskin tegar adalah sebanyak 16,953 KIR dengan penurunan sebanyak 5,940 KIR (25.9 peratus),” katanya.
Untuk Ikhtiar keempat pula adalah melibatkan merubah sikap dan pemikiran yang mana rakyat mempunyai pilihan sama ada bergerak dengan menerima kenyataan bahawa ‘keadaan berubah’; atau kita boleh juga memilih untuk ‘merubah keadaan’.
Bagi ikhtiar kelima, memperkukuh tenggang (usaha) dalam Menoktah Kemiskinan iaitu memahami dan mendalami sikap dan tingkah laku kumpulan sasar dalam merangka program untuk membebaskan sesebuah komuniti atau individu daripada belenggu kemiskinan.
Katanya, perspektif menoktah kemiskinan perlu melihat kepada aspek pencegahan kemiskinan dalam usia emas dengan menggalakkan tabungan yang bijak, merancang simpanan sejak awal hayat.
Pada masa sama, kerajaan memperkenalkan Kampung Angkat Madani bagi tujuan menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan dan seterusnya merapatkan jurang kemudahan asas dan bandar.
Selain itu, pemerkasaan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan setempat turut diperkenalkan melalui Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
“Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kementerian Ekonomi adalah antara ikhtiar inovatif kerajaan dalam menangani isu struktur terkait dengan kemiskinan, keterjaminan makanan, kos sara hidup, pemasaran, dan peluang pekerjaan.
“Susulan kejayaan program rintis 100 unit mesin layan diri IPR-INSAN, saya ingin mengumumkan perluasan penempatan 4,900 unit mesin lagi di seluruh negara, manakala program IPR-INTAN yang merangkumi hampir 3,000 ekar juga bakal diperluaskan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN