Pendakwa bebas Ustaz Husam didakwa guna gelaran tidak diiktiraf

Pendakwa bebas Ustaz Husam didakwa guna gelaran tidak diiktiraf

AHMAD Husam Muhamad Baderudin (tiga dari kiri) keluar dari kompleks mahkamah selepas menghadapi pertuduhan menggunakan gelaran dan kehormatan yang tidak diiktiraf di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pendakwah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen 2 di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran dan kehormatan yang tidak diiktiraf.

Tertuduh, Ahmad Husam Muhamad Baderudin, 34, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Husam didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Yang Dipertua Negeri Melaka.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar pukul 11.30 pagi pada 4 Mei 2023.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 4A (6) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21).

Berikutan itu, Ahmad Husam berdepan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan negeri, Muhamad Asyraf Md. Kamal memohon mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM50,000 bersama syarat-syarat yang difikirkan wajar.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi memohon  mahkamah dapat mengenakan jaminan yang mininum memandangkan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Selain itu, tertuduh juga dikatakan mengidap penyakit gout dan asma di samping perlu bergantung kepada pengambilan ubat.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM25,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya