Pendaftaran syarikat GISB boleh dibatalkan - Menteri KPDN - Utusan Malaysia

Pendaftaran syarikat GISB boleh dibatalkan – Menteri KPDN

ARMIZAN Mohd. Ali ditemui pemberita pada majlis perasmian Menara SSM Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pendaftaran syarikat Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings boleh dibatalkan sekiranya disabitkan kesalahan atas aktiviti-aktiviti yang melanggar kepentingan awam dan peraturan-peraturan semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bahagian penguatkuasaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
bagi membantu siasatan terhadap GISB.

Kementerian juga memberi perhatian terhadap dakwaan tentang usaha dan cubaan yang dibuat untuk melindungi atau menghilangkan identiti GISB seperti pertukaran papan nama premis serta perniagaan.

“Kita melihat pertama dengan PDRM, kedua dengan SKMM untuk kita menyelaraskan apakah bentuk kesalahan yang dilakukan dan apakah bentuk tindakan dan punca perundangan mana untuk kita mengambil tindakan yang segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak di sini hari ini yang berkenan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Siasatan terhadap GISB dibuat secara menyeluruh oleh pelbagai agensi penguatkuasan susulan beberapa pendedahan yang menggemparkan masyarakat terutama melibatkan rumah kebajikan.

Dalam pada itu, Armizan berkata, siasatan GISB di peringkat kementeriannya adalah terkait dengan akta-akta di bawah kawal selia SSM.

“Kita sedang menyemak semua pendaftaran syarikat-syarikat induk dan anak-anak syarikat termasuklah pematuhan mereka kepada penghantaran laporan tahunan, penyatan kewangan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN