Pencipta lagu ‘Madani Jiwa Merdeka’ terima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor - Utusan Malaysia

Pencipta lagu ‘Madani Jiwa Merdeka’ terima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor

Madani Jiwa Merdeka
MUHAMMAD Affan Mazlan memberikan ucapan selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-99, dekat Dewan Agong Tuanku Canselor, di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pencipta lagu tema Hari Kebangsaan 2024 yang berjudul ‘Madani Jiwa Merdeka’, Muhammad Affan Mazlan terima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-99, hari ini.

Menurutnya, dia menganggap anugerah tersebut sebagai berprestij, namun tidak menyangka akan menerimanya kerana bukan satu-satunya graduan cemerlang dalam Jurusan Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi.

“Rakan-rakan lain pun ramai yang cemerlang, tetapi saya bersyukur terpilih. Saya anggap ia hadiah berprestij dan paling istimewa seiring dengan lagu yang saya cipta lagu tema Hari Kemerdekaan Ke-67, amat manis dan ia adalah sesuatu daripada saya untuk negara.

“Memang mencabar sepanjang pengajian, berat untuk saya harungi tetapi saya berjaya cipta tujuh buah lagu untuk penyanyi, Aina Abdul antaranya seperti ‘Sedia Terluka, ‘Bukan Untukku’ dan ‘Kunci’,” katanya ketika ditemui pada istiadat tersebut, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Affan, 24, menerima anugerah berkenaan daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor UiTM.

Beliau dinobatkan penerima anugerah tersebut apabila memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.89.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas penerbitan lagu Madani Jiwa Merdeka yang mendapat sentuhan komposer terkenal, Datuk Mokhzani Ismail juga disifatkan sebagai idolanya.

Jelas Muhammad Affan, beliau mahu bekerja keras mencapai impiannya menjadi seorang komposer yang baik seperti idolanya itu apabila dikenali sebagai orang kuat bekerja bagi menghasilkan lagu terbaik.

“Beliau bantu saya mendapatkan ahli pemuzik orkestra yang baik supaya lagu tersebut lebih sedap didengari. Saya ambil masa sebulan untuk siapkan lagu Madani Jiwa Merdeka. Apabila lagu ini dimainkan oleh sesebuah stesen radio tempatan, saya memang puas hati.

“Tidak dinafikan saya mendapat kritikan daripada segelintir pihak yang merasakan lagu ini tidak sesuai menjadi lagu tema hari kebangsaan. Tetapi, saya terima kritikan itu dengan hati terbuka,” ujar anak bongsu daripada lima beradik itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN