Penang FC, Negeri Sembilan sama kuat

Penang FC, Negeri Sembilan sama kuat

PENANG FC terpaksa berpuas hati apabila diikat Negeri Sembilan FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang petang tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian apabila diikat 2-2 oleh Negeri Sembilan FC dalam aksi yang berlangsung seimbang di Stadium Bandaraya, petang tadi.

Bermula baik, pelawat bagaimanapun terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama ketika permainan baru sahaja memasuki 30 saat.

Gol berpunca daripada kegagalan penjaga gawang Penang FC, Sikh Izhan menampan kemas rembatan penyerang Negeri Sembilan, A. Selvan.

Bekas pemain Harimau Kumbang, Hadin Azman kemudian memanfaatkan bola muntah tersebut untuk gol pertama skuad Hobin Jang Hobin dalam perlawanan berkenaan.

Ketinggalan 0-1 bagaimanapun tidak mematahkan semangat anak-anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk bangkit bagi memburu gol penyamaan.

Hasilnya, penyerang import kelahiran Brazil, Rodrigo Dias berjaya mengawal baik hantaran Nik Akif Syahiran sebelum merembat kencang ke arah gawang pelawat untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-14.

Seorang lagi penyerang import Penang FC iaitu Dylan Wenzel-Halls turut mencetak nama sebagai penjaring apabila mudah menolak masuk umpanan pemain tengah, Syamer Kutty Abba untuk gol kedua tuan rumah selang dua minit kemudian.

Ini merupakan gol sulung pemain kelahiran Australia itu bersama Penang FC selepas dia diturunkan dalam dua perlawanan Liga Super termasuk ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.

Dalam pada itu, meskipun ketinggalan dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit, anak-anak buah K. Nanthakumar tetap bersemangat untuk memburu gol kedua.

Gol yang dicari Negeri Sembilan akhirnya menjelma pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila pemain import baharu mereka, Sebastian Avanzini mudah melakukan rembatan deras jarak jauh sekaligus menewaskan Sikh Izhan.

Masuk babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat mula mengendurkan asakan untuk memburu gol apabila tidak banyak serangan berbahaya dilancarkan ke kubu lawan.

Keputusan 2-2 akhirnya kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Penang FC dan Negeri Sembilan masing-masing kekal di tangga kesembilan dan ke-12 dalam carta Liga Super selepas mengharungi 10 perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya