ADA yang terkejut sebaik sahaja penyanyi bersuara gemersik, Datuk Nora Ariffin, 51, mengumumkan bakal mengadakan konsert solo pertamanya 18 Disember ini.
Mungkin sukar untuk percaya, tetapi, itulah realitinya. Selepas tiga dekad, barulah penyanyi hebat ini berpeluang menghadiahkan konsert solo sulung kepada peminat.
Benarlah, rezeki setiap manusia berlainan. Ada yang turun cepat, ada lambat. Beliau percaya pada ketentuan. Dan akhirnya, penantian tiga dekad itu, berakhir.
“Sebenarnya, banyak cabaran yang saya lalui sebelum sampai ke titik ini. Banyak penolakan yang saya hadap. Ada ketika, memang saya sedih dan berkecil hati. Mudah untuk penyanyi lain mendapat tajaan untuk membuat konsert. Tetapi saya tidak. Sampai satu tahap, saya nak lupakan dan tak mahu lagi bercerita mengenai konsert.
“Pernah hasrat saya untuk membuat konsert di sebuah dewan berprestij di ibu negara ditolak pengurusan dewan berkenaan. Hati saya berbisik, nama saya ini tidak cukup gah lagi? Adakah mereka anggap saya tak boleh menyanyi?
“Memang saya terasa hati. Tetapi, pada masa yang sama, saya percaya pada rezeki. Kalau ada, ia akan sampai. Saya rakam banyak album pun, masih tak cukup untuk meyakinkan penaja untuk taja saya buat konsert.
“Setiap kali berdepan penolakan, saya pujuk hati, tak apalah, mungkin belum ada rezeki. Tapi saya tidak mudah putus asa orangnya. Saya usahakan, walaupun susah macama mana sekalipun,” katanya.
Nora berkongsi cerita semasa sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey, baru-baru ini.
Konsert yang bakal dipentaskan di Stage 1 Theatre, PJPac pada 18 Disember itu nanti turut membabitkan nama besar dunia muzik tanah air seperti Aubrey Suwito dan Jennifer Thompson.
Nora bersyukur kerana kerajaan, menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, prihatin kepada perkembangan dunia muzik dengan menyediakan peruntukan khas untuk menyokong aktiviti penggiat seni tanah air.
Justeru, Nora memanfaatkan sokongan kerajaan, mencipta peluang sendiri untuk membuat konsert.
“Peruntukan yang kerajaan sendiakan ini adalah satu peluang. Rugi kalau penggiat seni tak manfaatkan.
“Satu tahun lebih saya bersama pasukan kecil saya usahakan. Buat proposal dan serahkan. Selepas enam bulan baharu lulus.
“Daripada saat itu saya nampak sinar. Alhamdulillah. Walaupun tidak dapat penuh (peruntukan), saya tetap lega. Sekurang-kurangnya peruntukan yang diluluskan, membantu. Inilah hasilnya kerja keras, jangan putus asa,” jelasnya.
LUNAS HASRAT JOHAN NAWAWI
Mengadakan konsert solo adalah impian yang dikongsi bersama Nora dengan bekas suaminya, arwah Johan Nawawi. Sebab itu konsert pada Disember nanti cukup bermakna untuknya.
“Johan Nawawi sudah tak ada di sisi saya. Semasa hayatnya, arwah buat semua untuk saya. Saya tinggal menyanyi sahaja.
“Saya menahan perasaan (sedih). Memang tak lengkap konsert ini tanpa arwah. Tapi saya pasti ini juga keinginannya. Jadi ibaratnya saya merealisasikan cita-cita arwah.
“Saya bayangkan, untuk konsert ini, kalau arwah ada, apa yang dia mahukan. Saya aturkan semua, dengan pasukan kecil di belakang saya.
“Setiap lagu saya, ada dia. Alangkah seronoknya kalau arwah ada bersama dalam konsert ini. Tapi, tidak mengapa. Ini tribute saya untuknya, ingat kembali segala jasanya kepada muzik saya,” kongsinya.
Komposer terkenal itu meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya pada 2017.-UTUSAN