Pemulangan wang kes penipuan hanya oleh pegawai penyiasat PDRM

Pemulangan wang kes penipuan hanya oleh pegawai penyiasat PDRM

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, memberikan keterangan mengenai situasi semasa jenayah komersial ketika sesi sidang akhbar mingguan jabatan siasatan jenayah komersial yang diadakan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini. UTUSAN/ILHAM ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa proses pemulangan semula wang yang disekat dalam kes penipuan dalam talian kepada mangsa hanya boleh diuruskan pegawai penyiasat kes. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tiada jalan pintas untuk proses berkenaan, selain ia memakan masa.

Katanya, ini kerana terdapat taktik penipuan membabitkan ejen yang menawarkan perkhidmatan pemulangan semula wang mangsa yang ditipu atau dipindahkan ke akaun orang lain.

“Proses pemulangan wang hanya dapat dilakukan oleh pegawai penyiasat dengan pematuhan kepada peruntukan undang-undang.

“Tiada jalan pintas untuk perkara ini sama ada melalui ejen, pertubuhan bukan kerajaan atau sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di Jalan Tun Razak hari ini.

Ramli berkata,  PDRM telah mewujudkan tatacara tertentu kepada pegawai penyiasat untuk menyekat wang yang sudah dipindahkan dengan cara perdaya ke dalam akaun bank suspek.

“Wang berkenaan boleh diserah semula kepada mangsa melalui peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593 dan  antara peruntukan yang digunakan adalah Seksyen 435 KTJ (bagi tujuan sitaan) dan Seksyen 413 KTJ (bagi permohonan pemulangan wang).

“Kesemua prosedur ini hanya boleh dilaksanakan oleh pegawai penyiasat sahaja, bukan mana-mana individu persendirian. 

“Malah, proses pemulangan wang kepada mangsa sebenarnya mengambil masa kerana mangsa dikehendaki hadir ke mahkamah bagi melengkapkan prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 413 KTJ,” katanya.

Ramli berkata, proses tuntutan semula wang berkenaan akan memakan antara tiga hingga enam bulan selepas membuat laporan polis.

Beliau berkata, kegagalan mangsa membuat laporan polis secara rasmi selepas melaporkan mengenai pindahan wang mangsa ke dalam akaun keldai melalui talian 997 Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)  boleh menjejaskan proses pemulangan semula wang.

Katanya, sejak NSRC ditubuhkan pada Oktober 2022, kira-kira 11,000 mangsa gagal membuat laporan polis setelah menghubungi NSRC yang mengakibatkan wang yang disekat tidak dapat diproses dan tidak dapat dipulangkan kepada mangsa.

“Mangsa yang membuat panggilan kepada NSRC berkenaan kes penipuan, juga perlu membuat laporan polis di balai polis berhampiran agar tindakan sekatan dan pemulangan wang dapat disempurnakan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kira-kira RM46 juta berjaya disekat oleh NSRC dan daripada jumlah itu, sebanyak RM510,000 telah dipulangkan kepada mangsa penipuan dalam tempoh 2022 hingga Julai tahun ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN