BUTTERWORTH : Seorang pemuda warga asing yang mengalami tekanan perasaan ditemukan mati akibat terjerut tali pinggang keledar dalam sebuah kereta di tapak letak kenderaan terpakai di Bagan Ajam, di sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, terdahulu, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang menjumpai mayat mangsa kira-kira pukul 2 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dan bahagian leher serta badannya terjerut dengan tali pinggang bahagian tempat duduk belakang.
“Siasatan menunjukkan, tiada unsur jenayah yang dikesan di tempat kejadian dan mayat mangsa kemudiannya hantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
“Laporan bedah siasat seterusnya mengesahkan bahawa kematian mangsa adalah disebabkan oleh jerutan pada leher manakala pemeriksaan pada tubuh badannya pula mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Oleh itu, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mangsa yang mengalami tekanan perasaan baru sahaja datang dari Kuala Lumpur dan sempat bekerja di sebuah kedai cuci kereta selama tiga hari.
“Hasil keterangan saksi iaitu majikan dan rakan sekerja memaklumkan, mangsa mempunyai masalah dengan isterinya yang berada di kampung halaman.
“Ia susulan rakan sekerjanya sering mendengar mangsa sering bertengkar semasa berhubung bersama isterinya melalui telefon,” katanya.
Dalam pada itu, polis turut menasihati masyarakat supaya tidak mengambil tindakan melulu dan menjadikan hal sebegini sebagai pengajaran supaya dapat berfikir dengan lebih rasional.-UTUSAN