Pemuda parah diserang beruang ketika keluar memikat burung

Pemuda parah diserang beruang ketika keluar memikat burung

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) menemui keluarga mangsa di Hospital Gua Musang, Kelantan semalam.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pemuda parah selepas diserang seekor beruang semasa keluar memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, mangsa Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, mengalami kecederaan di kaki, luka di betis dan mata akibat selain terkoyak pada bahagian kepala akibat dicakar haiwan tersebut 

Bapa mangsa Che Mohamed Konok, 70, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak kelima daripada sembilan adik- beradik itu semasa berada di kedai kopi.

Menurutnya, sebelum itu Muhammad Zaki yang masih bujang itu sudah menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Jerek dan kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.

“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira pukul 3 pagi tadi untuk rawatan lanjut.

“Saya melihat keadaan kepala dan kakinya  terkoyak sehingga berlumuran darah. Dia masih sedar, namun tidak dapat bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita Hospital Gua Musang di sini malam tadi.

 

Adik perempuan mangsa, Siti Jamilah Che Mohamed, 22, pula memberitahu, abangnya itu berjaya menyelamatkan diri selepas diserang beruang sebelum dijumpai rakan dan penduduk kampung.

Katanya, abangnya itu tinggal seorang diri di rumah lama yang juga terletak di kawasan kebun.

“Kami tidak pernah mendengar cerita ada beruang masuk ke kawasan kampung ini. Saya terkejut apabila seorang penduduk kampung telah datang ke rumah kami di Kampung Jerek mengatakan abang sudah pengsan akibat diserang beruang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima maklumat berkait kejadian itu pukul 9.56 malam tadi selepas bapa mangsa membuat laporan.

Dalam perkembangan sama, wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang turut melawat keluarga mangsa di Hospital Gua Musang meminta penduduk di kawasan terlibat perlu sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri ketika berada di kawasan kebun atau keluar mencari hasil hutan.

Katanya,  sejak akhir-akhir ini beliau banyak banyak menerima aduan kemunculan haiwan liar di kawasan penempatan penduduk.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN