SETIU: Seorang pemuda mengalami kecederaan parah selepas diserang seekor beruang ketika mencari madu lebah di kawasan hutan paya, Sungai Bari dekat Kampung Bukit Putera, Chalok, di sini, semalam.
Abang mangsa, Mohd. Redzuan Ismail, 35, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, adiknya, Amirul Ismail, 27, cedera di paha kanan serta kedua belah tangan.
“Saya hanya menyedari kejadian yang menimpa adik apabila melihat dia datang ke arah saya dengan keadaan berlumuran darah, sebelum itu saya ada dengan bunyi beruang tetapi tidak menyangka ia adalah bunyi haiwan liar itu bergelut dengan Amirul.
“Ketika kejadian, Amirul sedang berjalan di kawasan itu dan tidak menyedari mamalia itu berada di atas pokok berdekatan sebelum haiwan terbabit melompat di depannya sebelum menyerang,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Mak Som, dekat Chalok di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, dia bersama mangsa dan abang iparnya, Zulkifli Abdul Rahman, 56, telah berada di kawasan tersebut sejak Selasa lepas dan dijangka pulang petang semalam.
Katanya, kejadian itu adalah pertama kali berlaku semenjak tahun 2010 mereka mencari madu, meskipun sebelum ini hanya menjumpai haiwan itu dalam jarak jauh atau menemui kesan tapak kakinya sahaja.
Sementara itu, Zulkifli berkata, melihat keadaan mangsa yang parah mereka segera membawa keluar mangsa dari lokasi kejadian dengan menaiki bot, sebelum dibawa Hospital Setiu.
Tambahnya Amirul kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu ekoran kecederaan parah yang di hadapi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Bagaimanapun kita nasihatkan mereka yang terlibat untuk tampil membuat laporan dan dalam masa sama siasatan turut dijalankan,” katanya. – UTUSAN