Pemotong rumput rogol adik ipar dipenjara 42 tahun, 30 sebatan - Utusan Malaysia

Pemotong rumput rogol adik ipar dipenjara 42 tahun, 30 sebatan

TERTUDUH yang didapati bersalah merogol adik iparnya meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemotong rumput dipenjara 42 tahun dan dikenakan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol adik iparnya, tiga tahun lalu.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu hari ini selepas tertuduh yang berusia 39 tahun didapati bersalah atas tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun di sebuah rumah di Marang antara Februari sehingga Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.

Nooriah dalam penghakimannya berkata, tertuduh wajar dikenakan hukuman setimpal atas jenayah yang dilakukan terhadap mangsa yang juga adik iparnya.

“Jenayah rogol atau sumbang mahram adalah keji di mata masyarakat dan hukuman berat harus dikenakan kepada tertuduh.

“Tertuduh sebagai dewasa juga seharusnya menjaga mangsa namun jelas mengambil kesempatan atas kenaifan mangsa bukan sekali tetapi tiga kali,” tegas beliau.

Mahkamah selepas itu menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman pertuduhan pertama bermula hari ini.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mahkamah mengarahkan hukuman berjalan serentak sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama.

Bagaimanapun tertuduh hanya dikenakan 24 sebatan maksimum di bawah peruntukan Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga proses rayuan selesai dengan jaminan RM35,000.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab. Latif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN