PETALING JAYA: Kumpulan pop rock Amerika, Maroon 5, mengumumkan bakal kembali ke Malaysia untuk konsert jelajah Maroon 5 Asia 2025, 12 Februari tahun hadapan.
Menerusi hantaran di aplikasi X, penganjur, Live Nation Malaysia telah berkongsi poster pelan susunan kedudukan serta harga tiket konsert yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, rata-rata peminat bengang dengan harga tiket konsert yang disifatkan sebagai ‘cekik darah’ kerana dijual terlalu tinggi.
“Biar betul harga paling murah pun hampir RM400?” tulis satu komen.
“Kenapa penganjur tutup ruangan komen?,” tanya seorang peminat.
“Sangat mahal dan masa jualan tiket pun tidak lama lagi,” keluh peminat yang lain.
Menerusi poster berkenaan, peminat boleh membeli tiket yang dijual bermula dari RM398 sehingga RM1,288.
Ahli kelab peminat rasmi Maroon 5 S.I.N. boleh mendapatkan tiket pada 30 September ini sementara yang lain boleh mendapatkan tiket pada 3 Oktober bermula satu petang.
Untuk rekod, kali terakhir penyanyi This Love itu membuat persembahan di Malaysia adalah pada konsert Overexposed Tour pada 2012 -UTUSAN