Pemilik syarikat mengaku tak bersalah buat pernyataan palsu

Pemilik syarikat mengaku tak bersalah buat pernyataan palsu

P. NARENDRAN (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di George Town, Pulau Pinang, hari ini atas tuduhan membuat pernyataan palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang pemilik sebuah syarikat makanan dan minuman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat pernyataan palsu berkaitan perletakan jawatan isterinya sebagai pengarah syarikat, pada 2019.

Tertuduh, P. Narendran, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta supaya dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah membenarkan supaya dibuat satu pernyataan palsu berkenaan butir material dalam dokumen ‘Section 58 Notification of Change in the Registers of Directors, Managers and Secretaries’ bertarikh 19 April 2019.

Pernyataan palsu itu berkaitan satu dokumen yang dikehendaki di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777) bagi syarikat NR Sweets Restaurant N Cafe Sdn. Bhd. (No. Pendaftaran: 859972-V) yang mana pernyataan palsu tersebut adalah berkenaan peletakan jawatan V. Revathi, 44, sebagai pengarah syarikat terbabit sedangkan tertuduh mengetahui ia adalah palsu.

Pernyataan palsu itu didakwa dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Menara SSM@Sentral, di Kuala Lumpur, pada tarikh yang sama iaitu 19 April 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah akta dan seksyen yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, ketika prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd. Iqbal Mohd Yusof memohon agar mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh.

Peguam yang mewakili tertuduh, Dr. N. Ahilan bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik terhadap SSM dan dia juga mempunyai dua orang anak.

Mahkamah kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan kes disebut semula pada 28 Oktober depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya