Pemilik syarikat emas mengaku tak bersalah tipu GST RM2.22 juta - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat emas mengaku tak bersalah tipu GST RM2.22 juta

Tipu GST
MOHD. Hasriq Zahari tiba di Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhannya berkaitan bayaran cukai GST, di Shah Alam, Selangor, hari ini. UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat yang melakukan urusniaga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas lapan pertuduhan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai keseluruhan RM2.22juta sekitar 2017 dan 2018.

Mohd. Hasriq Zahari, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Berdasarkan empat pertuduhan pertama, lelaki berusia 28 tahun itu didakwa memberikan maklumat tidak betul berhubung cukai input dan output yang diikrar dalam penyata GST-03 iaitu tempoh bercukai secara berperingkat antara 1 April hingga 2017 hingga 30 Jun 2018 yang menyebabkan kekurangan cukai yang dibayar berjumlah RM2.22 juta.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 88 (c) Akta GST 2014 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, dia juga boleh dikenakan suatu penalti yang bersamaan dengan amaun cukai yang terkurang dikenakan sedemikian jika penyata atau maklumat itu telah diterima sebagai betul.

Kemudian, Mohd. Hasriq berdepan empat lagi pertuduhan berkaitan membuat catatan palsu dalam penyata sama berjumlah RM2. 22 juta dengan niat untuk mengelak cukai seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89 (1) (b) Akta GST 2014.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga 20 kali ganda amaun cukai atau kedua-duanya.

Kesemua perbuatan dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pelabuhan Klang antara 12 Julai 2017 hingga 17 Julai 2018.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mazliza Abdul Wahid manakala OKS diwakili Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Hakim Rasyihah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN