KUALA LUMPUR: Seorang lagi pemilik syarikat Bangladesh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit sindiket membawa masuk kumpulan warga asing dengan merasuah penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penahanan suspek berusia 40-an itu dilakukan di sekitar Kuala Lumpur menerusi Op Pump kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.
Sumber mendedahkan, suspek dan beberapa ejen sindiket berkenaan dipercayai telah membayar sejumlah wang rasuah antara RM200 hingga RM25,000 kepada beberapa pegawai di sebuah agensi penguat kuasa.
“Bayaran itu sebagai balasan untuk memudahkan kumpulan warga asing melepasi pintu masuk udara negara tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.
“Wang rasuah berkenaan sebagai balasan bagi melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah di bawah Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155),” katanya di sini.
Dalam pada itu, perintah reman tujuh hari sehingga 16 September ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – UTUSAN