Pemilik bengkel cedera di leher akibat hutang lama RM100 - Utusan Malaysia

Pemilik bengkel cedera di leher akibat hutang lama RM100

SUSPEK ditahan polis selepas bergaduh dengan pemilik sebuah bengkel motosikal dalam satu kejadian di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Seorang pemilik bengkel motosikal cedera di leher hanya kerana meminta hutang lama berjumlah RM100 daripada pelanggannya dalam kejadian di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, suspek lelaki berusia 19 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di tempat kejadian oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintenden Azmi Mokhtar berkata, suspek ditahan selepas mencederakan pemilik bengkel tersebut yang berusia 44 tahun dengan pisau.

“Mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil manakala suspek yang mengalami kecederaan pada jari dan tangan kanan pula dihantar ke Hospital Kulim,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Azmi, hasil siasatan awal kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang lama.

Ujarnya, suspek ada berhutang sebanyak RM100 dengan mangsa dan pada hari kejadian suspek menghantar sebuah motosikal untuk dibaiki di kedai mangsa.

“Ketika suspek datang ke bengkel itu, mangsa mengungkit hutang lama yang masih belum dibayar. Berlaku pertengkaran sebelum berlarutan dengan pergaduhan dan ketika pergelutan suspek mengambil sebilah pisau yang ada di bengkel itu lalu menghayun ke arah mangsa dan terkena pada bahagian leher,” ujarnya.

Katanya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya