PUTRAJAYA: Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) perlu disegerakan bagi memastikan agenda perjuangan pendidikan dibawa organisasi ini terus relevan dan diperjuangkan dengan lebih berkesan.
Bekas Presiden GPMS ke-21, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS perlu kekal sebagai gerakan yang memperjuangkan hak pendidikan anak Melayu dan bumiputera tanpa mengira fahaman politik.
Beliau berkata, perjuangan organisasi ini adalah berasaskan kepada aspirasi bangsa dan pendidikan yang mengatasi batasan ideologi politik dan kepimpinannya perlu berpegang teguh kepada prinsip ini bagi menjamin integriti serta hala tuju organisasi.
“Saya menyeru agar lebih ramai anak muda terlibat secara aktif dalam organisasi ini bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pada masa depan.
“Perkara ini penting bagi memastikan suara generasi muda terpelihara dan sentiasa diberi perhatian dalam agenda pendidikan termasuk kebajikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, persidangan agung tahunan adalah medan terbaik untuk menilai kembali pencapaian dan merangka strategi masa depan organisasi ini untuk tiga tahun berikutnya.
Reezal Merican berkata, beliau turut menyeru agar kepimpinan GPMS terus memperkukuh organisasi ini sebagai sebuah badan dihormati di peringkat kebangsaan.
“Saya berharap GPMS akan terus menjadi agen perubahan dan rujukan utama dalam isu pendidikan dan kebajikan pelajar Melayu,” katanya.
Sebelum ini, Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) memutuskan supaya GPMS mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi dalam tempoh 30 hari bermula 23 September lalu.
Sebelum ini, Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi menegaskan, pihaknya mahu mengadakan proses pemilihan itu tahun depan. – UTUSAN