ALOR SETAR: “Maaf Yang Amat Arif dan Yang Arif Yang Arif, saya teremosi dalam perkara ini kerana saya sendiri mempunyai anak. Saya mohon hukuman gantung ini kekal. Mangsa ditikam dengan pisau rambo.”
Demikian hujah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fuad Abdul Aziz ketika permohonan semakan hukuman mati oleh bekas tukang masak yang didapati bersalah membunuh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Nur Syuhada Johari pada 2015.
Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini membenarkan hukuman mati mandatori terhadap Syarafi Abu, 34, ditukar kepada penjara 38 tahun dan 14 sebatan.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengikut Seksyen 2(4) dan 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Tengku Maimun memerintahkan hukuman penjara ke atas Syarafi dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 2 Februari 2015.
Terdahulu, peguam yang mewakilinya, Farida Mohammad memohon hukuman ke atas anak guamannya diringankan dengan hukuman penjara 31 hingga 35 tahun.
Perkara itu bagaimanapun dibantah oleh Mohd. Fuad yang mengemukakan hujah bahawa perbuatan dilakukan oleh Syarafi sebagai sangat kejam.
“Anak yang dijaga sehingga besar tiba-tiba dibawa pergi dan dibunuh. Namun jika hukuman ini perlu ditukar saya mohon yang paling berat sehingga 40 tahun penjara dan 20 sebatan,” hujahnya.
Syarafi ketika itu dilihat tenang di kandang tertuduh sepanjang persidangan berlangsung yang turut dihadiri oleh anggota keluarganya.
Pada 6 November 2019, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan hukuman mati ke atas Syarafi kerana membunuh seorang pelajar perempuan dengan mengelar lehernya.
Dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 12 Mei 2017 atas pertuduhan membunuh Nur Syuhada di dalam sebuah kereta di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan di Bukit Gantang pada 2 Februari 2015. – UTUSAN