KLANG: Pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman akan memfailkan rayuan berkaitan hukuman penjara selama 24 tahun dan dua sebatan atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini, menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu yang disifatkan tiada keadaan khas.
Peguam yang mewakilinya, Mohamad Zahid Ahmad berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, secepat mungkin.
“Kami semestinya akan membuat rayuan nanti (bagi menangguh dan menggantung hukuman itu). Kesemua proses itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi Klang ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Difahamkan, tertuduh, Azman Syah Alias, 43, akan terus dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman itu.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini, turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman selesai.
Hakim Noridah Adam memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes berkenaan.
Tertuduh yang didapati bersalah atas dua pertuduhan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Mohamad sebelum itu memohon permohonan penangguhan hukuman itu ditolak mahkamah kerana tiada keadaan khas untuk berbuat demikian.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi, 20 Februari serta 29 Jun 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Utusan Malaysia pada 26 Disember tahun lalu melaporkan Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.
Tertuduh yang turut dikenali sebagai Cik Man turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang. – UTUSAN