SHAH ALAM: Selangor melancarkan pembangunan semula atau rejuvenisasi Bandar Raya Shah Alam atau dikenali sebagai Shah Alam (SA) Sentral yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini.
Projek tersebut merupakan pembangunan ikonik berimpak tinggi bernilai RM3 bilion yang akan meliputi kawasan seluas kira-kira 58.7 hekter melibatkan komponen seperti pembangunan Plaza Alam Sentral (PAS), Plaza Perangsang, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam serta beberapa kawasan lain di Seksyen 14.
Antara elemen utama bagi pembangunan tersebut adalah keterhubungan pengangkutan awam melalui projek Aliran Transit Ringan (LRT) 3 di pusat bandar itu yang dijangka siap pada 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral akan dijadikan sebagai nadi kepada bandar raya itu selain memangkin transformasi bandar yang pembangunannya membentuk komuniti dengan menemukan perniagaan, budaya serta gaya hidup.
“Bandaraya Shah Alam sudah lama kekurangan daya tarikan yang memikat untuk generasi muda. Dengan SA Sentral, PKNS berusaha mengisi jurang ini dengan membangunkan semula Bandaraya Shah Alam.
“Agar sesuai dengan keperluan serta kehendak trend pasaran semasa dan menjadikannya destinasi pilihan bagi golongan profesional muda, keluarga dan perniagaan,” katanya pada Majlis Pelancaran SA Sentral di Galeria SA Sentral, hari ini.
Dalam majlis tersebut, beliau menyaksikan pelancaran SA Sentral disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tambah Mahmud, ia turut meliputi tahap kelestarian sebagai pembangunan rendah karbon yang selaras dengan matlamat Selangor untuk menjadi sebuah negeri dengan dilengkapi kemudahan bas elektrik, tempat letak kereta berpusat serta laluan pejalan kaki berbumbung.
“Visi kami adalah untuk memangkin pertumbuhan sosio ekonomi demi kesejahteraan rakyat Selangor dengan mewujudkan sebuah tempat yang penuh dengan peluang, sama ada memulakan perniagaan, mencari pekerjaan atau untuk menikmati kualiti hidup lebih baik.
“SA Sentral akan menjadi sebuah hab yang dinamik, menyatukan masyarakat dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Ia akan menjadi nadi kepada Bandaraya Shah Alam yang membawa era baharu bagi kawasan ini,” jelasnya.
Katanya lagi, SA Sentral akan memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan baharu, tarikan pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Pembangunan ikonik daripada PKNS ini bertujuan untuk mentakrifkan semula Shah Alam, ibu negeri Selangor sebagai destinasi setaraf dengan Kuala Lumpur dan kawasan pusat perniagaan lain, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN