KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menghargai setiap penajaan sisipan khas di dalam akhbar tempatan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-81 dan ia amat bermakna.
Titah baginda, ia adalah satu bentuk taat setia dan kasih yang tidak berbelah bahagi para penaja kepada Raja Perlis.
“Semoga dengan tajaan sisipan khas akhbar ini dapat meningkatkan lagi tekad serta kesungguhan baginda untuk terus memerintah dan membawa kemakmuran kepada negeri ini.
“Saya amat berharap penajaan-penajaan seumpama ini dapat diteruskan lagi, bahkan ditambah dengan penajaan baharu daripada syarikat serta organisasi yang lain,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis apresiasi penaja sisipan khas dalam akhbar tempatan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-81 di Kelab Golf Batu Pahat di sini hari ini.
Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth dan barisan para penaja sisipan tersebut.
Sementara itu, baginda bertitah, ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-82 2025 akan diadakan terlebih dahulu sambutan Jubli Perak ke-25 tahun pemerintahan baginda Raja Perlis iaitu pada 17 April 2025.
Titah baginda, pelbagai program dan atur cara akan dilaksanakan bagi memeriahkan hari peringatan yang juga dikenali sebagai ‘Zinatul Muluk’.
Baginda bertitah, pelbagai program sedang dirancang oleh kerajaan negeri dengan mengundang tetamu-tetamu Diraja berangkat ke Perlis untuk menghadiri Majlis Santapan Diraja.
“Selain program-program biasa yang sering diadakan sempena ulang tahun baginda, sedang diteliti buat masa ini bagi melibatkan kehadiran rakyat jelata adalah untuk menjadi hos Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan, Persembahan Orkestra Diraja, Majlis Perasmian Mercu Tanda Jubli Perak serta Istiadat Mengarak Panji-Panji.
“Pelbagai aktiviti melibatkan kecergasan juga akan dianjurkan di segenap peringkat untuk menggalak rakyat Perlis hidup sihat, cergas dan aktif,” titah baginda.
Oleh itu, baginda berharap rakyat Perlis agar bersama-sama dalam usaha untuk menjadikan negeri ini bersih dan indah, maju serta mampan seterusnya menyahut semua seruan agar seiring dalam setiap gerak kerja termasuklah membudayakan sikap positif dan komited terhadap tanggungjawab bersama.-UTUSAN