Pemandu lori rempuh lima kereta direman empat hari

Pemandu lori rempuh lima kereta direman empat hari

Pemandu lori dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi permohonan reman dalam siasatan kes kemalangan membabitkan lima buah kereta dan sebuah lori di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai, Seremban, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori terbabit nahas rempuhan ke atas lima buah kereta sehingga mengakibatkan kematian seorang wanita di Nilai dekat sini kelmarin direman empat hari untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, permohonan reman sehingga 1 Oktober terhadap lelaki berusia 30 tahun itu dibuat di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban semalam.

Katanya, hasil ujian urin ke atas pemandu lori berkenaan yang diambil semalam juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine.

Kelmarin media melaporkan, seorang wanita maut selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu apabila keretanya dan empat kereta lain dirempuh sebuah lori membawa muatan tanah dalam nahas di Nilai di sini.

Kejadian berlaku lebih kurang pukul 3.45 petang di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai di sini.

Menurut Mat Ghani, siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah lori tipper jenis Nissan dipandu oleh seorang lelaki berumur 30 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, Nilai lori hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar lima buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN