Pelbagai aset GISBH bernilai jutaan ringgit disiasat

Pelbagai aset GISBH bernilai jutaan ringgit disiasat

GISBH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pelbagai aset termasuk premis perniagaan yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bernilai jutaan ringgit.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang tidak menolak kemungkinan polis akan turut menjalankan siasatan ke atas aset lain dimiliki syarikat itu.

“Insya-Allah kita (polis) siasat. Siasatan kita berperingkat-peringkat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Syarikat diwujudkan lebih 10 tahun itu mempunyai empayar perniagaan besar termasuk di luar negara dengan memiliki ratusan cawangan perniagaan rata-ratanya menggunakan jenama Ikhwan.

Tinjauan menerusi laman web syarikat berkenaan memaparkan lokasi cawangan perniagaan mereka di luar negara termasuk Mekah, Dubai, Jordan, Mesir, Uzbekistan, Arab Saudi, Turkiye, Bosnia dan United Kingdom.

Kebanyakan premis perniagaan yang disenaraikan itu berkaitan dengan industri makanan dan minuman serta pasar raya.

Malah, GISBH turut terbabit dengan pelbagai sektor perniagaan lain termasuk perhotelan, perubatan, pelancongan, pembangunan, pembekalan dan keselamatan.

Sebelum ini, PDRM membekukan 96 akaun bank dan pelbagai aset membabitkan GISBH bernilai lebih setengah juta ringgit.

Sebanyak empat akaun turut ditutup dan lapan kenderaan disita mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sehingga kini, seramai 31 individu termasuk ketua jemaah itu iaitu Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ditahan reman bagi membantu siasatan.

Antara yang turut ditahan adalah isterinya dan masing-masing lima anak kepada pemimpin itu serta bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad dalam siri serbuan Op Global di seluruh negara sejak kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN