Pelantar ikan, restoran rosak dipukul ombak - Utusan Malaysia

Pelantar ikan, restoran rosak dipukul ombak

OMBAK yang melanda pelantar ikan dan restoran berikutan fenomena air pasang besar di Bagan Sungai Burung, Rungkup, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Sebuah pelantar ikan dan restoran mengalami kerosakan selepas dilanda ombak berikutan fenomena air pasang besar di Bagan Sungai Burung, Rungkup di sini hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Mohd. Fazly Mohamad Zawawi berkata, berdasarkan laporan diterima, berlaku hujan lebat dan ribut petir di kawasan berkenaan melebihi dua jam sejak pukul 4 pagi tadi.

Katanya, anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian bagi tujuan pemantauan selepas menerima maklumat pada pukul 9.45 pagi.

“Hasil pemantaun, didapati berlakunya angin dan ribut mengakibatkan pelantar pendaratan ikan dan sebuah restoran mengalami kerosakan pada bahagian lantai.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan mahupun kemalangan jiwa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, meskipun keadaan di kawasan berkenaan masih hujan namun paras air laut dilaporkan telah surut dan tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS).

“Fenomena air pasang besar telah bermula sejak kelmarin (Isnin) dan dijangka berakhir pada 23 September ini.

“Bacaan paras air paling tinggi dijangka mencecah 3.5 meter pada Jumaat ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai yang duduk di sepanjang atau berdekatan pesisir pantai supaya peka dengan keadaaan cuaca yang tidak menentu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan cuaca dan air pasang besar selain hubungi talian kecemasan dengan segera bagi mendapatkan bantuan sekiranya berlaku bencana,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN