Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 sasar pelaburan swasta RM78 bilion, 900,000 peluang pekerjaan

Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 sasar pelaburan swasta RM78 bilion, 900,000 peluang pekerjaan

ANWAR Ibrahim ketika melancarkan PIKAS 2030 di MMU Cyberjaya- UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030 menyasarkan untuk meningkatkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion dalam tempoh enam tahun lagi.

Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Muhammad Razman Abu Samah berkata, pelan itu turut meletakkan objektif untuk menjana sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM82 bilion.

Pada masa sama, kata beliau, ia disasarkan untuk meningkatkan peluang pekerjaan sebanyak 900,000 pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Kesemua objektif yang dinyatakan adalah seiring dan menyokong misi Ekonomi Madani bagi memacu ekonomi, meningkatkan daya saing dan penyerantauan, memastikan kemampanan fiskal dan memperkukuhkan tatakelola baik.

“Melalui pelaburan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh sektor swasta, peningkatan dalam kecekapan operasi, kualiti perkhidmatan dan produk serta pengurangan kos dapat dihasilkan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran PIKAS 2030 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini.

Pelaksanaan projek kerjasama awam-swasta mengalami pelbagai peralihan sejak inisiatif ini mula dilaksanakan pada tahun 1981 dengan pelan induk terakhir digubal pada tahun 1991 yang dikenali sebagai Pelan Induk Penswastaan (PIP 1991) yang kini berusia 33 tahun.

Katanya, sejak PIP 1991 diperkenalkan, projek penswastaan berkembang pesat dengan pembangunan pelbagai projek infrastruktur seperti lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang, universiti, hospital, kem tentera dan kuarters anggota keselamatan.

Konsep penswastaan ini juga telah mengalami pelbagai evolusi, terutamanya dari aspek model di mana pada permulaannya, hanya empat model penswastaan sahaja diperkenalkan, namun kini terdapat 17 model diguna pakai oleh UKAS dalam pelaksanaan projek PPP.

Muhammad Razman berkata, PIKAS 2030 bermatlamat menyediakan landskap kerjasama awam-swasta yang teguh dan mampan untuk memacu kesejahteraan negara.

Menurut beliau, dengan menggabungkan kelebihan yang ada pada sektor swasta dengan sektor awam melalui kerjasama ini, usaha untuk pembangunan negara dapat disegerakan.

Beliau menjelaskan, sinergi sumber dari kedua-dua sektor dapat membantu dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Kerjsama awam-swasta juga membolehkan perkongsian risiko dan manfaat antara sektor awam dan swasta, yang seterusnya membawa kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

“PIKAS 2030 diharap menjadi rujukan utama kerjsama awam-swasta sehingga tahun 2030, pelaksanaan projek akan menjadi lebih cekap dan berkesan bagi mencapai kesejahteraan negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN