PETALING JAYA: Pengarah, Shuhaimi Lua, terkilan dengan sikap segelintir pelakon baharu yang culas mempromosikan filem mereka di media sosial.
Shuhaimi yang juga pengarah urusan syarikat penerbitan Tanah Beris Film Production berkata, semua bahan promosi termasuk video dan poster sudah diberikan sejak minggu lalu, namun masing-masing memilih berdiam diri.
“Teguran saya ini khusus kepada pelakon-pelakon baru yang susah mahu promosi filem sendiri.
“Semua bahan sudah diberi tapi mereka tidak kongsikan apa-apa. Setakat ini mungkin adalah satu video, itupun semasa malam gala dan sidang media,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Shuhaimi, dia turut menasihati pendatang baharu untuk mencontohi sikap pelakon veteran yang bangga dengan hasil kerja mereka.
“Saya geram dan rasa nak memgamuk juga dengan mereka (pelakon baru), watak mereka besar. Bukannya sekadar karakter sampingan.
“Sedangkan pelakon veteran seperti Ropie dan Ziana Zain pun kongsikan poster, mengapa anda yang baru-baru ini tidak mahu buat?
“Minggu depan filem Jozan akan masuk panggung, Jozan pun kongsikan poster filem mereka, jadi apa
alasan anda?,” tambahnya.
Mengakui kutipan filem Pontianak 200kg arahannya sedikit perlahan minggu lalu, Shuhaimi berharap situasi ini akan semakin baik dengan bantuan semua pelakon.
“Koleksi kutipan filem agak perlahan minggu ini. Minggu hadapan akan banyak filem baru masuk seperti Jozan yang kita tahu ramai peminat.
“Jadi kita ini jangan bersenang-senang sangat. Harapnya sambutan akan semakin baik nanti,” katanya.
Terdahulu, menerusi sebuah hantaran di media sosial, Shuhaimi menegur sikap segelintir pelakon baharu yang enggan berkongsi poster filem bagi membantu kerja promosi. -UTUSAN