Pelajar tingkatan empat maut kereta rempuh tiang elektrik - Utusan Malaysia

Pelajar tingkatan empat maut kereta rempuh tiang elektrik

KEADAAN Proton Saga Iswara dinaiki dua beradik selepas terlibat kemalangan di Jalan Sungai Petani-Baling di Kampung Bukit Terabak, Kupang di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang pelajar tingkatan empat maut apabila kereta yang dinaiki bersama abangnya merempuh tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Sungai Petani-Baling di Kampung Bukit Terabak, Kupang, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Shakir Noor Ruslan, 16, dari Kampung Sungai Limau, Pulai, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Charan Ai Wan berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga Iswara dipandu abangnya, Muhamad Shazwan, 21, dari arah Mahang, Kulim menghala ke rumahnya di Sungai Limau.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bahu jalan sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, kejadian mengakibatkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan  mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu pula mengalami cedera ringan pada kaki dan tangan. Dia dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut. Mangsa maut pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” ujarnya.

Tambahnya, punca kemalangan disyaki akibat pemandu kereta yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas dan melanggar tiang TNB di bahu jalan sebelah kanan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN