PETALING JAYA: Kisah seorang mahasiswa yang membawa barang yang diisi dalam guni ke asrama sewaktu pendaftaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, kisah pelajar, Rafida Zaiddin itu meragut emosi ramai pihak termasuk dirinya.
Susulan itu, kata Fadhlina, beliau menghubungi Rafida dan menguruskan semua urusan beban kewangan serta keperluan untuk Rafida meneruskan pengajian.
“Rafida adalah anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan.Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan. Malah sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS.
“Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat dihati saya? Kerana ketika hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ketua Wanita PKR itu berkata, kisah Rafida memberi kesedaran mengenai perjuangan pendidikan manusiawi yang menjadi kekuatan kepada negara.
“Terbang tinggi, berdiri tegak. Insya-Allah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya. Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian.
“Semoga Allah SWT memberkati pengajian anaknda Rafida,” katanya. – UTUSAN