Pelaburan emas: 13 individu dakwa rugi RM1.63 juta akibat ditipu

Pelaburan emas: 13 individu dakwa rugi RM1.63 juta akibat ditipu

HISHAMUDDIN Hashim (tengah) bersama para pelabur yang ditipu program pelaburan emas tampil menyerahkan aduan di Bank Negara Malaysia di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 13 individu mendakwa telah mengalami kerugian sehingga RM1.63 juta selepas ditipu oleh dua individu yang menawarkan program pelaburan pasaran emas, di sini.

Difahamkan, syarikat pelaburan emas yang mempunyai ibu pejabat di Bukit Jambul, di sini itu menawarkan program pelaburan emas kepada pelabur yang berkenaan dengan menjanjikan pulangan sekitar lima hingga 10 peratus pulangan setiap bulan.

Menerusi program pelaburan emas yang aktif sekitar tahun 2022 hingga 2023 itu, ada dalam kalangan pelabur yang mengalami kerugian sehingga antara RM5,000 hingga RM500,000.

Salah seorang pelabur yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 48, berkata, dia bersama ibu dan adiknya kerugian sebanyak RM300,000 selepas melabur dalam program yang dikendalikan oleh syarikat berkenaan.

“Saya mengenali individu yang mengendalikan pelaburan emas ini daripada seorang rakan pada pertengahan tahun 2023 dan saya seterusnya melabur bersama ibu dan adik saya di dalam skim ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM300,000.

“Saya dijanjikan pulangan pelaburan sekitar lima hingga 10 peratus sebulan, tetapi, saya hanya dibayar sekitar RM50,000 sahaja dan pada Februari lalu, individu yang kendalikan pelaburan ini sudah tidak dapat dihubungi lagi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Tan, dia turut mengajak 12 lagi kenalannya untuk menyertai pelaburan emas di syarikat berkenaan dan kesemua mereka telah menjadi mangsa penipuan syarikat tersebut yang kini menghilangkan diri.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yap, 40, pula berkata, dia kerugian sebanyak RM500,000 selepas melabur dalam syarikat tersebut malah kini terpaksa menganggung hutang dengan pihak bank kerana dia membuat pinjaman untuk menyertai pelaburan emas itu.

“Saya melabur dalam pelaburan ini selepas melihat kenalan saya iaitu Mr. Tan menyertainya, saya dijanjikan pulangan yang tinggi, namun, saya hanya memperoleh pulangan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sahaja.

“Saya juga mungkin terpaksa menutup kedai perabot saya kerana tidak dapat menguruskan hutang yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menyerahkan aduan berkaitan kes berkenaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini bagi membolehkan satu siasatan dijalankan terhadap kes tersebut.

“Kami dan para pengadu berharap satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh dapat dilakukan di bawah Seksyen 137
Akta Perkhidmatan Kewangan 2013,” katanya yang memberitahu, para pengadu juga sudi dan akan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada BNM bagi melengkapkan siasatan ke atas syarikat tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya