Pekerja selenggara jalan maut, tiga cedera lori terbabas - Utusan Malaysia

Pekerja selenggara jalan maut, tiga cedera lori terbabas

KEADAAN lori yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 33.1, susur keluar Lebuhraya Utara Selatan di Jitra, Kubang Pasu. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang pembantu penyelenggaraan jalan maut, manakala rakan sekerjanya cedera apabila lori yang dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 33.1, susur keluar Lebuhraya Utara Selatan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun berasal dari Kelantan yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa lori berkenaan bergerak dari arah Bukit Minyak, Pulau Pinang menghala ke Tunjang, Jitra untuk kerja-kerja pembaikan jalan.

“Apabila sampai di lokasi, lori itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit di bahu jalan sebelah kiri menyebabkan kenderaan terbalik dalam kedudukan lori separa tenggalam di dalam parit.

“Tiga lagi mangsa termasuk pemandu yang berusia 27 hingga 45 tahun berjaya keluar dari lori manakala penumpangnya tersepit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang berusia 32 tahun itu sehingga menyebabkan kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999.

“Sepasukan anggota dari BBP Jitra diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazril Ab Rahman bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan itu membabitkan lori yang dipercayai terbabas dan terbalik ke dalam longkang. Empat mangsa berada dalam kenderaan itu yang mana seorang daripadanya tersepit, manakala tiga lagi termasuk seorang warga asing selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya