Pekerja sambilan bebas tuduhan buat komunikasi jelik 

Pekerja sambilan bebas tuduhan buat komunikasi jelik 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sambilan dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung pelaksanaan darurat sewaktu pandemik Covid-19 menerusi platform media sosial Facebook miliknya, tiga tahun lalu.  

Hakim Datuk Edwin Paramjothy Michael Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap tertuduh, Wan Mohd. Aman Wan Mohd Ishak, 43, sebagai Orang Kena Saman (OKS). 

“Selepas mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan meneliti hujahan pihak-pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di bawah Seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah. 

“OKS dengan ini dilepas dan dibebaskan selain wang jaminan dikembalikan,” katanya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala OKS diwakili peguam Mohd. Yusoff Yakob. 

Pihak pendakwaan memanggil lima saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Januari 2022. 

Pada 2 Julai 2021, Wan Mohd. Aman mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mahyon Talib atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan profil ‘Aman Muhammad’.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPK, Kuala Lumpur, pada 12 Januari 2021, sekitar  pukul 10.59 pagi dan dibaca pada jam 4.12 petang. 

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hati kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN