Pekerja Myanmar rasuah polis bantuan didenda RM10,000

Pekerja Myanmar rasuah polis bantuan didenda RM10,000

KYAW Moe (kiri) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pekerja Myanmar didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM500 kepada seorang anggota polis bantuan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Win Kyaw Moe, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Kyaw Moe didakwa memberikan suapan berjumlah RM500 itu kepada seorang anggota polis bantuan yang bertugas di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Suapan itu bertujuan sebagai balasan supaya anggota polis berpangkat Konstabel itu memberi kebenaran masuk kepada empat orang pekerja kontrak di bawah seliaan tertuduh di tapak kerja Loji Guillemard milik PBAPP.

Ia susulan pekerja terbabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 468 iaitu memalsukan kad pendaftaran personel binaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang dikemukakan untuk memasuki tapak kerja terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Wisma Jelutong, Daerah Timur Laut kira-kira pukul 10 pagi pada 13 September lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh turut menghubungi anggota polis itu serta menghantar nota suara meminta nombor akaun bank bagi tujuan memasukkan wang walaupun sudah diingatkan berkali-kali bahawa perbuatan itu salah di sisi undang-undang. Wang suapan itu ditawarkan tertuduh secara bulanan iaitu berjumlah RM500 selama setahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee yang memohon hukuman setimpal dikenakan susulan ia merupakan kesalahan serius.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Soffian Azmir memohon hukuman ringan dikenakan dengan memberi alasan tertuduh tidak memiliki pendapatan tetap dan perlu menyara seorang isteri serta anak berusia 11 tahun.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh bagaimanapun bertindak membayar denda berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya