Pegawai awam ada tempoh opsyen 40 hari pilih SSPA

Pegawai awam ada tempoh opsyen 40 hari pilih SSPA

KERAJAAN akan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan, untuk itu, pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari mulai 21 Oktober sehingga 30 November depan untuk memilih skim baharu ini.

Menurut JPA, pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam yang berstatus tetap.

“Pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada pegawai awam yang memilih opsyen SSPA sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, dengan terlaksananya SSPA ini, kerajaan berharap aspirasi reformasi perkhidmatan awam akan terus diperkasakan dengan menyemai sikap taat setia dalam kalangan pegawai awam.

Pada masa sama, katanya, ia mampu memberikan khidmat terbaik dalam memacu kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Pelaksanaan dan perincian seperti pelarasan gaji dan urusan perkhidmatan menerusi SSPA akan dimulakan dengan sesi libat urus JPA dalam masa terdekat di semua kementerian dan jabatan.

“Ini bagi membolehkan para pengurus sumber manusia mendapat pencerahan sewajarnya,” katanya.

Pegawai awam boleh mula mengakses Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan) melalui portal www.sspa.jpa.gov.my mulai hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN