PETALING JAYA: Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Kowloon selepas menundukkan pasangan No.2 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, sebentar tadi.
Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, Pearly-Thinaah nyata lebih unggul menyingkirkan pilihan pertama kejohanan itu dalam pertarungan yang diheret sehingga set penentuan.
Gandingan itu menang dengan keputusan 22-20, 17-21 dan 21-15 dalam masa satu jam 14 minit.
Pearly-Thinaah yang pernah menyingkirkan lawan yang sama pada separuh akhir Terbuka Korea Selatan, dua minggu lalu, mara ke final buat kali kedua berturut-turut dalam Jelajah Dunia sejak Sukan Olimpik 2024 di Paris berakhir.
Aksi konsisten yang dipamerkan Pearly-Thinaah sejak mara ke separuh akhir pada temasya terbesar di dunia itu diteruskan beregu Malaysia tersebut pada kejohanan berstatus Super 500 itu.
Esok, mereka bakal berdepan sama ada satu lagi pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong atau gandingan No. 3 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China yang akan beraksi dalam satu lagi separuh akhir, hari ini.- UTUSAN