PDRM siasat pusat kuarantin untuk indoktrinasi, dera ahli GISBH

PDRM siasat pusat kuarantin untuk indoktrinasi, dera ahli GISBH

Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan kewujudan pusat kuarantin Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di beberapa lokasi di dalam dan luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini susulan maklumat yang dimuat naik melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) berkaitan pusat kuarantin yang dipercayai tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli GISBH yang bermasalah.

“Siasatan sedang dijalankan berhubung maklumat tersebut.

“PDRM juga kini giat mengesan aset-aset dimiliki GISBH bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Razarudin, setakat ini sebanyak 10 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 berkaitan isu buruh paksa yang diterima daripada beberapa individu pernah bekerja dengan GISBH.

“Berhubung dengan kenyataan media bertarikh 25 September lalu bahawan ‘GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan’ diperjelaskan bahawa ia merujuk kepada tahun taksiran terkini yang disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dengan kerjasama PDRM.

“Siasatan ini memfokuskan kepada beberapa syarikat di bawah GISBH dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN