PDRM bincang dengan DBKL butiran lanjut kawasan terlibat kerja pembaikan - Utusan Malaysia

PDRM bincang dengan DBKL butiran lanjut kawasan terlibat kerja pembaikan

Operasi SAR di tanah jerlus Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dihentikan pada 31 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung butiran terperinci membabitkan kawasan tanah jerlus di Masjid India, di sini. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, perbincangan tersebut dilakukan hari ini bagi membolehkan DBKL memberikan butiran lanjut berkaitan kawasan-kawasan yang terlibat untuk kerja pembaikan. 

“Setakat ini tiada keperluan untuk menempatkan anggota polis (di lokasi kejadian),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. 

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melalui kawasan yang telah ditutup atas faktor keselamatan. 

Media semalam melaporkan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India, Vijaya Lakshmi, 48, yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India di sini pada 23 Ogos lalu dihentikan atas faktor keselamatan.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India di sini akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery).

Beliau berkata, ia akan diserahkan kepada PDRM kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan pihak DBKL. 

Antaranya, kata beliau, pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah yang akan dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur.

 “Selain itu, sesi libat urus antara peniaga juga akan dilaksanakan bagi menyambung kembali aktiviti di kawasan ini, pihak DBKL juga diminta untuk melakukan kerja-kerja pembaikan semula. 

“Kawasan dari Pintu Gerbang sehingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100 meter akan dipastikan tidak dilalui oleh pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN