ALOR SETAR: Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menutup premis perniagaan milik Global Ikhwan Services and Bussiness Holdings (GISBH) di negeri ini jika didapati melanggar syarat lesen niaga mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, namun sehingga kini PBT terlibat belum mengesan sebarang aktiviti melanggar syarat lesen niaga itu di beberapa premisnya.
“Selagi tak dibuktikan bersalah, kita tak jatuh hukum kepada mereka sebab perniagaan mereka sebelum ini kita nampak bersih tak ada apa. Selagi tidak disiasat, dibuktikan bersama pihak berkuasa mereka boleh beroperasi.
“Kecuali premis itu contohnya buka restoran tiba-tiba dalam restoran itu buat benda lain daripada sebagai restoran. Itu kesalahan dari segi premis, kita boleh tamatkan lesen,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Menaiktaraf dan Mengurus Terminal Shahab Perdana di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut menyerah kepada pihak berkuasa seperti polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
“Sebab itu bukan bidang kita nak pi siasat mereka. Ada pihak-pihak lain yang siasat. Kita hanya sediakan premis saja. Kalau terbukti kata benda tu dia buat salah dalam premis tersebut jadi kita boleh tamatkan.
“Setakat sekarang kita tak dapat arahan untuk nak pergi menyiasat. Kita tidak mahu buat kerja orang lain, PBT bukan kerja itu. Kalau dapat laporan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Sementara itu tinjauan akhbar ini di sebuah restoran dipercayai milik syarikat tersebut mendapati premis perniagaan itu tidak beroperasi sejak beberapa hari lepas.
Semalam, kerajaan negeri membuka ruang seluas-luasnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap individu dan premis yang dikaitkan dengan GISBH di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap mereka sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan organisasi itu. – UTUSAN