PBT belum batal lesen perniagaan GISB - Utusan Malaysia

PBT belum batal lesen perniagaan GISB

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) beramah mesra bersama mahasiswa selepas Sesi Townhall Mahasiswa Anak Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pembatalan lesen perniagaan dimiliki oleh Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings di Terengganu hanya akan dimuktamadkan setelah mendapat keputusan rasmi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih belum mengambil apa-apa tindakan terhadap operasi perniagaan yang dijalankan oleh organisasi tersebut.

Menurutnya, sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu dibuat dengan teliti selepas pihak berkepentingan membuat keputusan mengenai doktrin dan kefahaman dalam GISB.

“Difahamkan, pertemuan muzakarah itu akan berlangsung di Terengganu tidak lama lagi dan sekarang ini, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah-langkah dan tindakan yang perlu.

“Setakat ini, (premis perniagaan milik GISB) masih tak tutup secara rasmi tapi kita dapat lihat tiada orang yang pergi membeli atau menikmati (makanan di restoran).

“Kita tunggu keputusan muzakarah..kalau PBT ambil langkah tak sesuai (menutup premis atau membatalkan lesen perniagaan GISB tanpa alasan munasabah), nanti boleh disaman pula, oleh itu tunggu dulu apa tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan Sesi Townhall Bersama Mahasiswa Anak Terengganu di Pulau Duyong, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai organisasi GISB di Terengganu pula, Ahmad Samsuri berkata, menyifatkan ia tidak terlalu menonjol seperti di negeri-negeri yang lain dan situasinya masih dalam keadaan yang terkawal di Terengganu.

“Kami di pihak kerajaan negeri masih tak dapat maklumat yang terperinci kerana siasatan yang dilakukan pihak berkuasa tu bukan sehari dua ni.

“Ia (siasatan) sudah agak lama dijalankan dan kami hanya dimaklumkan ada siasatan sedang dibuat sejak tahun lalu, kita pun tahu terperinci dan serahkan semuanya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Di Terengganu, terdapat dua premis perniagaan milik GISB iaitu sebuah restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kedua-dua premis terbabit sudah tidak beroperasi sejak Jumaat lalu, namun tiada sebarang notis makluman berhubung penutupan itu.

Terdahulu, media melaporkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Beliau memaklumkan pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN