Paus bungkuk muncul di Pulau Redang - Utusan Malaysia

Paus bungkuk muncul di Pulau Redang

TANGKAP layar keadaan ikan paus bungkuk yang ditemukan di Pulau Redang, Kuala Terengganu, semalam..- MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kemunculan seekor ikan paus dipercayai spesies Humpback Whale (megaptera novaeangliae) atau paus bungkuk di Pulau Redang dekat sini yang tular di media sosial sejak semalam boleh dianggap sebagai istimewa

Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Maizah Mohd. Abdullah berkata, ‘humpback whale’ adalah haiwan mamalia yang melakukan penghijrahan atau migrasi paling jauh berbanding mana-mana haiwan mamalia yang lain di planet.

Menurutnya, spesies tersebut yang juga dikenali paus bungkuk boleh dijumpai di perairan dalam di seluruh dunia, namun populasi yang paling hampir dengan perairan Malaysia adalah dari kawasan Western North Pacific.

Sementara itu, katanya, di Malaysia, Humpback Whale pernah dilaporkan ditemukan di perairan Pangkor dan Miri.

“Walaupun agak sukar untuk mengecamnya kerana rakaman video pendek dan kurang jelas menunjukkan bahagian kepala paus tersebut, tetapi pengecaman pada bentuk sirip dorsal menunjukkan ia adalah spesies Humpback Whale (Megaptera novaeangliae) atau Paus Bongkok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, tular di media sosial sebuah video berdurasi 39 saat memaparkan sekumpulan nelayan teruja apabila terserempak dengan paus tersebut di Pulau Redang.

Melalui ruangan komen, netizen melontarkan pelbagai pandangan yang positif bahawa ia adalah petunjuk terhadap usaha pemuliharaan lautan yang berkesan dan ada juga yang melahirkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan apabila berada di laut.

Maizah memberitahu, paus bungkuk memakan krustasea seperti udang dan ikan kecil dengan cara menapis air laut dalam jumlah yang banyak.

“Justeru, haiwan ini tidak berbahaya atau memberi ancaman kepada penyelam atau nelayan.

“Namun, semua pihak dinasihatkan tidak cuba untuk menghampiri paus ini kerana bimbang ia boleh mendatangkan kecederaan kepada manusia secara tidak sengaja semasa ia berenang, disebabkan saiznya yang besar,” katanya.

Pada masa sama beliau menambah kemunculan haiwan mamalia itu memberi mesej untuk semua pihak menjaga kelestarian lautan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya