Pasangan suami isteri dituduh edar dadah - Utusan Malaysia

Pasangan suami isteri dituduh edar dadah

PASANGAN suami isteri yang dituduh atas mengedar dadah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan mengedar dadah seberat 6.3 kilogram (kg), dua minggu lalu.

Mohd. Tarmizi Ramle, 34, dan isterinya, Maline Mohd. Pauzi, 37, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5,708.18 gram (g) dan nimetazepan (631.91g).

Mohd. Tarmizi dan Maline didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan dekat sini sekitar pukul 1 petang, 1 September lalu.

Pasangan peniaga itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 13 November ini sebagai tarikh untuk laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala kedua-dua diwakili peguam, Mohd. Zubairi Salleh.

Pada 2 September lalu media melaporkan sepasang suami isteri ditahan bersama dadah dengan nilaian rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai RM1.05 juta.

Antara yang disita wang tunai RM79,000, barang kemas, kereta Volkswagen Golf GTI dan Honda Jazz, motosikal Yamaha RX-Z, Honda Vario dan dua buah Yamaha Y15ZR.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin, berkata, aset berkenaan disyaki hasil daripada kegiatan pengedaran dadah oleh suspek sejak awal tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN