Pas Terengganu hantar sukarelawan bantu mangsa banjir di Kedah - Utusan Malaysia

Pas Terengganu hantar sukarelawan bantu mangsa banjir di Kedah

SEORANG penduduk membawa anak-anaknya mengharungi banjir di Kampung Kubang Betong, Changlun, Kubang Pasu, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa-manga banjir di Kedah.

Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya turut memberi sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada Pas Kedah bagi melancarkan proses bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat.

“Kesemua sukarelawan itu dijadualkan berbakti selama tiga hari iaitu di kawasan Pokok Sena yang paling terjejas akibat banjir bermula hari ini.

“Bantuan tenaga kerja amat diperlukan bagi membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas selain menyampaikan sumbangan keperluan asas.

“Mereka (sukarelawan) akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan rumah-rumah dan membaiki kembali rumah yang rosak akibat bencana tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, pihaknya akan menyalurkan barang keperluan asas seperti toto, selimut, dan bantal bernilai RM16,000 bagi keperluan mangsa banjir.

“Ini merupakan hasrat Terengganu bagi mengurangkan bebanan kerajaan negeri yang terlibat dalam mendepani musibah banjir yang tidak dijangka itu.

“Sumbamgan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir terlibat,” ujarnya

Banjir di Kedah semakin pulih apabila hanya 1,885 mangsa daripada 593 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 2,366 orang daripada 736 keluarga malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa terlibat ditempatkan di 18 PPS di tiga daerah iaitu Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN