PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kaedah pendekatan penyaluran dana kerajaan kepada golongan miskin dinilai semula agar bantuan itu tidak disalah guna dan diuruskan mengikut prosedur sepatutnya.
Perdana Menteri mendedahkan, ini kerana terdapat agensi basmi kemiskinan memperuntukkan sehingga 80 peratus daripada dana itu untuk tujuan pengurusan, namun hanya 20 peratus ‘sampai’ kepada golongan miskin.
Dalam hal ini, beliau mangarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz membuat pemantauan secara kerap agensi yang menguruskan pengagihan dana itu.
“(Kita perlu ubah bagaimana pendekatan), dari mana kita harus kumpul dana dan bagaimana kita agihkan, apakah melalui agensi-agensi yang sedia ada? Berapa upah bagi pengurusan?
“Apakah munasabah satu badan yang ditubuhkan untuk membantu orang miskin memberi upah kepada pengurusan begitu tinggi dan (memberikan kemudahan) perjalanan kelas pertama serata dunia.
“Sebab itu kita mulai keras hal ini kerana dia sudah jadi budaya,” katanya ketika merasmikan Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri membatalkan rombongan 68 pegawai sebuah kementerian dan agensi ke satu pameran di Berlin, Jerman meskipun pihak berkenaan sudah menempah tiket penerbangan dan hotel.
Tegasnya, tindakan itu adalah satu mesej jelas kepada semua pihak bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam sebarang tindakan yang boleh merugikan dana awam, di samping tegas untuk terus melaksanakan reformasi dalam institusi penjawat awam.
Menurut Anwar, jika cara kaedah pengagihan dana itu tidak diperbetulkan, agensi berkenaan sering memohon peruntukan dana tambahan setiap kali mesyuarat kerajaan.
“Negara mana yang mampu berikan peruntukan lebih (dalam soal) ini, Tetapi, yang tak dibicarakan ialah peruntukan kepada jabatan atau agensi yang bocor dan tiris. Sebab itu, memerangi rasuah dalam lingkungan itu, jangan dipandang remeh.
“Saudara prihatin tentang apa itu nilai dan akhlak, masalah kemiskinan dan kesenjangan, tetapi agak meremehkan soal tatakelola dia tidak dapat memberikan penyelesaian yang baik,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, agensi berkenaan sepatutnya memainkan peranan mereka membantu kerajaan dalam soal menoktahkan kemiskinan.
“Tetapi yang dibincangkan karpet pejabat harus tukar atau tidak? Apakah elaun harus ditingkatkan ketimbang tahun lalu (atas alasan) tanggungjawab dia lebih banyak (kononnya) menguruskan dana lebih tinggi.
“Dana kerajaan untuk membami kemiskinan itu antara tertinggi di dunia dan pastinya tertinggi di Asia, tapi apakah ia betul-betul berkesan? Berapa banyak tirisnya? Berapa banyak belanja untuk pengurusannya? Apakah ini boleh dielakkan? Bagaimana kita harus tentukan bahawa bantuan itu untuk memerdekakan mereka (golongan miskin)?” katanya. – UTUSAN