PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kematian pakar patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa bunuh diri selepas menjadi mangsa buli.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau tidak bertolak ansur terhadap isu buli sejak 2018 dan kekal dengan dasar itu.
“Kesemua kakitangan KKM berhak mendapat persekitaran pekerjaan yang adil dan selamat,” katanya di laman X hari ini.
Akhbar tempatan malam tadi melaporkan, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah berhubung kematian pakar patologi di hospital di Lahad Datu, Dr. Tay Tien Yaa, yang dipercayai membunuh diri selepas menjadi mangsa buli.
Menurut makluman kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Tay Tien meninggal dunia pada 29 Ogos lalu.
Adiknya, yang menggunakan nama YS Tay di Facebook semalam mendakwa Tay Tien yang melapor diri di Hospital Lahad Datu pada Februari lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.
Dia berkata, kakaknya yang baharu berkahwin dijanjikan oleh pihak pengurusan akan dipindahkan kembali ke Semenanjung untuk bersama suaminya selepas dua tahun perkhidmatan.
Kematian Tay Tien berlaku di tengah-tengah aduan mengenai keadaan kerja yang teruk dan perbuatan buli terhadap kakitangan kesihatan yang berlaku di hospital kerajaan di Sabah oleh pegawai yang lebih senior.
Dilaporkan, pegawai perubatan mengalami penderaan lisan dan fizikal di hospital, termasuk cemuhan, cercaan perkauman dan ancaman dengan objek tajam kerana tidak mengikut arahan.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata, isu buli di sektor kesihatan awam terus berlarutan dan semakin buruk walaupun satu pasukan petugas ditubuhkan pada 2022 untuk menyiasat dan menangani masalah itu.- UTUSAN